Wednesday 2 July 2014
03:03 0

HEBOH YANG TERBARU ! Runtuhan Tanah Di Simpang Empat Jalan Imbi Kuala Lumpur.





BERITA TERKINI:

KUALA LUMPUR: Sebahagian daripada struktur terowong bawah tanah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di simpang empat Jalan Imbi, runtuh sedalam lima meter setelah berlaku mendapan tanah, dipercayai berpunca daripada paip air bawah tanah pecah. 

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian 9.30 pagi tadi, dan orang ramai dinasihatkan tidak melalui kawasan itu untuk mengelak kesesakan lalulintas. 
Beliau berkata, terowong sepanjang 35 meter itu yang dalam pembinaan, mempunyai empat laluan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan di simpang empat Jalan Imbi, dengan menghubungkan laluan kenderaan dari Jalan Pudu hingga menghala ke Jalan Tun Hussein. 

Pihaknya juga telah meminta perkhidmatan monorel antara Stesen Hang Tuah ke Stesen Bukit Bintang dihentikan buat sementara atas faktor keselamatan selepas disarankan oleh pihak kontraktor projek terowong itu. Ini memandangkan satu daripada tiang monorel itu terletak berdekatan dengan tapak runtuhan. 

"Kami risau tapak runtuhan berdekatan dengan tiang monorel akan runtuh dan menyebabkan monorel jatuh," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini. 

Azizan juga berkata, pihak bomba turut melakukan kerja menanda di sekitar kawasan yang retak berdekatan dengan tiang monorel bagi memantau keadaan runtuhan supaya tidak berlaku pergerakan tanah yang besar. Dalam pada itu, jurucakap DBKL berkata trafik di Jalan Imbi dijangka akan meningkat pada sebelah petang berikutan kejadian tanah mendap itu. 

Dalam reaksi segera kepada BERNAMA, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata pembinaan projek terowong yang runtuh itu akan diteruskan dan dijangka akan disambung esok. 

"Punca kejadian itu dipercayai paip air SYABAS pecah. Projek itu akan disambung semula dan pemantauan projek terowong itu akan dibuat secara berterusan dengan jurutera perunding dan DBKL," katanya. 

DBKL juga sedang berbincang dengan syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memastikan tidak berlaku litar pintas terhadap bangunan berhampiran termasuk pusat-pusat perniagaan di Bukit Bintang, hotel-hotel dan Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur hingga bekalan tenaga terputus. 

DBKL juga akan memastikan keadaan keselamatan di tempat kejadian runtuh itu dalam memastikan keselamatan pekerja membina terowong itu dan orang awam. - BERNAMA 












0 comments:

Post a Comment